Video MEDIA SOSIAL

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, dalam kejadian pada pukul 4.50 pagi itu penjenayah dipercayai Geng Tebuk itu maut ditembak anggota bertugas setelah suspek enggan memberi kerjasama sewaktu ditahan selain menyerang polis menggunakan pistol dan parang.

“Pada kira-kira pukul 3 pagi tadi, pihak kami menerima maklumat mengenai sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan. Pencarian kemudiannya dilakukan dan suspek berjaya dikesan di kawasan Lunas.

“Mereka yang dipercayai baru selesai melakukan jenayah pecah rumah di sekitar sini bagaimanapun tidak mengendahkan arahan berhenti sebaliknya memecut kenderaan yang mereka naiki sebelum berjaya dipintas berhampiran Plaza Tol Lunas,” katanya.

Mior Farid menambah, penjenayah terbabit bertindak ganas apabila melepaskan tembakan ke arah polis selain cuba menyerang dengan menggunakan parang.

“Demi mempertahankan diri, anggota kami terdiri daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Cawangan Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) terpaksa membalas tembakan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kesemua penje­nayah itu berusia antara 20-an hingga 30-an dengan pihak polis menemukan sepucuk pistol se­para automatik, dua bilah parang serta beberapa peralatan meme­cah rumah dan menebuk peti besi.

“Sebuah kotak dipercayai me­ngandungi barangan hasil daripada ke­giatan jenayah mereka turut ditemukan dalam kenderaan tersebut.

“Kami percaya dapat menyelesaikan beberapa lagi kejadian pecah rumah dan tebuk peti besi di Baling dan Alor Setar baru-baru ini,” katanya.