Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan, beliau sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung perkara tersebut dan kini sedang meneliti butiran sepenuhnya.

“Walaupun kita sudah kenal nama dan asal mereka daripada mana, tetapi pihak polis Bukit Aman akan mengeluarkan kenya­taan penuh setelah butiran dan siasatan terperinci diselesaikan.

“Walau bagaimanapun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan Filipina terutamanya pasukan tentera dan polis mereka yang telah menterjemahkan pelaksanaan semua operasi yang telah diletakkan di dalam perjanjian tiga pihak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia di dalam menentukan operasi ketiga-tiga negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Masjid Salmah Khamis bersempena nama ibu mentuanya, Allahyarhamah Salmah Yahya dan bapa mentuanya, Allahyarham Khamis Dalip di Durian Daun di sini hari ini.


Video oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan dua rakyat Malaysia yang dipercayai antara 13 militan Daesh yang terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, apabila undang-undang tentera diisytiharkan di kawasan berkenaan, tentunya perkara tersebut akan mendatangkan kekhuatiran terhadap pihak negara.

“Perkara itu akan menyebabkan mereka (kumpulan militan) yang disyaki dikhuatiri boleh melepasi kepungan kawasan berke­naan dan mereka akan menuju keluar daripada kawasan undang-undang tentera.

“Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi tempat untuk mereka menyembunyikan diri. Saya telah memberitahu Ketua Polis Negara dan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk bersiap-siaga dan memperketatkan kawalan perairan serta gunakan segala aset dan maklumat perisikan yang ada bagi tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, lima rakyat Malaysia didakwa berada di kawasan pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi termasuk dua yang terbunuh.