Video oleh ABD. RAZAK AID

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an yang dipercayai warga tempatan ditembak selepas mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

"Kejadian berbalas tembakan di antara suspek dan sekumpulan angggota polis itu berlangsung dalam tempoh kurang satu minit. Kedua-duanya maut di tempat kejadian, manakala anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, kejadian berlaku selepas sepasukan anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Seremban 2-Labu terserempak sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau lagi, polis mengarahkan kereta tersebut berhenti namun pemiliknya memecut laju tetapi berjaya dipintas di Persiaran Ainsdale Selatan.

"Salah seorang suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan empat das tembakan manakala rakannya meluru ke arah polis sambil melibaskan sebilah parang. Pasukan polis melepaskan lima das tembakan mengenai dada kedua-dua suspek," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 warna hitam yang mengandungi empat kelongsong dan dua butir peluru hidup serta dua bilah parang sepanjang 0.3 meter.

Selain itu, katanya, pemeriksaan lanjut polis di dalam kereta suspek menemukan peralatan pecah rumah, lima keping nombor pendaftaran kenderaan dan 17 butir peluru hidup.

"Identiti kedua-dua suspek masih belum diketahu kerana polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri manakala kenderaan digunakan suspek disamun di Klang, Selangor baru-baru ini," katanya. - UTUSAN ONLINE