Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, R. Munusamy berkata, tiga serbuan yang dilakukan tersebut adalah susulan daripada empat laporan kematian melibatkan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing pada 14 September lalu selepas dipercayai meminum minuman keras yang dibeli dari sebuah kedai di Jalan Ipoh, di sini.

“Serbuan di sebuah premis di Taman Sri Kuching telah menahan dua individu iaitu warga tempatan berusia 60-an dipercayai pemilik premis dan pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah 23 botol arak dengan masing-masing 18 botol berjenama Grand Royal Whisky dan lima botol berjenama Mandalay Whisky yang kesemuanya bernilai hampir RM300,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Munusamy, tiada tangkapan ataupun rampasan dilakukan di dua lagi lokasi serbuan iaitu masing-masing di Jinjang Utara dan Jalan Ipoh.

“Serbuan di Jinjang Utara dan Jalan Ipoh tidak menemui sebarang minuman keras berjenama Mandalay Whisky dan Grand Royal Whisky yang disyaki menjadi penyebab kepada empat kematian tersebut.

“Manakala buat masa ini, dua lelaki di Taman Sri Kuching ditahan kerana didapati menjual minuman keras tanpa lesen,” katanya. - UTUSAN ONLINE