Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika polis mahu menahan kereta jenis Porsche Cayenne dipandu suspek di Jalan Semenyih, Kajang.

"Polis pada mulanya mahu menahan kenderaan tersebut kerana didapati warna kereta itu tidak sama dengan warna didaftarkan sebelum ini.

"Suspek yang ingkar arahan bertindak memecut kenderaannya sejauh 4.5 kilometer sebelum dikejar pihak polis sehingga mereka berhenti di tepi jalan," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Fadzil, selepas berhenti, kedua-dua suspek melepaskan tembakan dan untuk mempertahankan diri, polis terpaksa menembak mereka hingga mengakibatkan maut.

Jelas beliau, suspek pertama berusia 43 tahun  dan mempunyai empat rekod jenayah serta dikehendaki polis kerana terlibat kes pecah rumah di Klang tahun ini.

"Suspek kedua berusia 36 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk lima kes berkaitan dadah," katanya.

Tambah Fadzil, kereta digunakan suspek ketika kejadian itu juga adalah kenderaan yang dicuri di Klang kelmarin. 

Dalam kejadian tersebut, polis turut merampas dua pucuk pistol dan beberapa senjata lain termasuk dua bilah parang.- UTUSAN ONLINE