Timbalan Ketua Pengarah (Pe­nguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Datuk Zulkifli Yahya berkata, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu yang tiba dengan menaiki penerbangan dari Mumbai, India ditahan pada pukul 10.45 pagi.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, anggota JKDM menemukan dua bungkusan serbuk berwarna coklat di dalam bagasi lelaki itu yang juga pemilik sebuah pusat hiburan di ibu negara.



“Suspek mendakwa kononnya serbuk itu adalah kunyit yang dibeli di sebuah pasar raya di Mumbai untuk dijadikan sebagai bahan campuran bagi menghasilkan minuman kesihatan.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan Jabatan Kimia mengesahkan bungkusan yang me­ngandungi serbuk warna coklat itu adalah dadah ketamin bernilai kira-kira RM900,000,” katanya dalam sidang akhbar di Cawa­ngan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tambahnya, pemeriksaan lan­jut mendapati suspek pergi ke Mumbai sebanyak empat kali sepanjang tahun ini dipercayai atas urusan yang sama.