Video oleh NUR IZZATI NADZI

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Md. Shahzada Saju, 37, yang bekerja sebagai penyelia kerja pembersihan kerana pertuduhan bunuh yang melibatkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Md. Shahzada didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, 30, juga warga Bangladesh di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi di sini antara pukul 4.15 pagi, 3 Julai dan pukul 3.16 pagi, 5 Julai lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Md. Shahzada yang ditangkap di Pengerang, Johor pada pukul 2 pagi, 24 Julai lalu iaitu 19 hari selepas berjaya melarikan diri, diwakili peguam Leonard Anselm Gomes.

Majistret Siti Radziah Ka­marudin menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Akhbar sebelum ini melaporkan, mayat wanita yang dikerat enam ditemukan di dalam dua beg pakaian kira-kira pukul 11.30 pagi, 5 Julai lalu di tepi Jamba­tan Jalan Ipoh di Sungai Gombak di ibu negara.

Polis juga menemukan loket dengan tulisan ‘Allah’ huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat tersebut yang juga terdapat kesan luka hirisan di leher dipercayai akibat penggunaan senjata tajam.