Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit ditangkap selepas orang ramai melihat dia dalam keadaan mencurigakan di perkarangan gudang tersebut.

Gambar mangsa yang terbaring di atas jalan dan berlumuran darah dipercayai dibelasah orang awam kemudiannya tular di media sosial sejak petang semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 3.35 petang yang memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota kita mendapati lelaki terbabit dalam keadaan terbaring cedera disyaki dipukul orang awam. Pihak kita segera menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ujian saringan awal mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan morfin. Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 65 tahun selepas wanita itu dimaklumkan ahli keluarga yang terlihat gambar mangsa tular di laman sosial.

Kata beliau, ibu mangsa mendakwa anaknya dipukul tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah Toyota Hilux tanpa sebarang sebab, bukan dibelasah oleh orang ramai kerana cuba menceroboh gudang perabot sebagaimana yang diceritakan di media sosial.

"Pihak polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan kes ini dan setakat ini, mangsa ditahan ekoran laporan dibuat oranf awam di Balai Nilam Puri atas dakwaan menceroboh kawasan gudang perabot.

“Sementara itu, kes mendatangkan kecederaan ini juga turut disiasat oleh pihak polis. Kita nasihatkan orang ramai supaya segera menyerahkan tangkapan kepada pihak berkuasa, bukannya mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE