Ab. Rahman Ismail

Sebelum dibunuh di satu lokasi lain, kese­mua mangsa telah diculik oleh sembilan lelaki bertopeng dari asrama tempat mereka bekerja di Kampung Tunjong Mulong di sini dan mayat mereka kemudiannya dicampak di kawasan tersebut.

Kesemua mangsa yang merupakan pekerja buruh di tapak pembinaan di Tunjong Mulong itu ialah Maung Maung Soe, 31; Thet Naing Soe, 22; Thet Naing Win, 30; dan Min Zaw Lwn, 20-an.

Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata, pada 25 Oktober lalu, polis telah mene­rima laporan mengenai empat lelaki warga Myanmar dilarikan sekumpulan lelaki dan pihaknya percaya kes tersebut mempunyai kaitan dengan pene­muan semalam.

“Ini bukan sekadar kes penculikan untuk mendapat wang tebusan sebaliknya berkaitan pergaduhan atau pertelingkahan agama yang berlaku di Myanmar sebelum ini. Jadi kita percaya kejadian berpunca daripada dendam perbalah­an agama di sana.

“Sebab suspek tersebut ada menyebut 'siapa Buddhist? mana lagi Buddhist?' berulang kali sambil mengacukan pisau di leher mangsa sebelum melarikan keempat-empatnya dengan sebuah kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Video oleh FIRDAUS HASSAN

Menurut Ab. Rahman, pihak­nya memandang serius kejadian tersebut yang dilihat boleh mendatangkan kebimbangan kepada masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Ujar beliau, pihaknya mendapati modus operandi pembunuhan ialah suspek menerkup muka mangsa dengan plastik selain terdapat satu atau dua kesan tikam­an di abdomen keempat-empat mayat berkenaan.

“Dua daripada empat mayat sudah dicam dan dikenali melalui pakaian sementara satu lagi dikenali melalui tatu di badan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Rahman memberitahu, polis kini sedang giat memburu sembilan suspek yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.