Lebih mengejutkan, tindakan yang boleh dianggap kejam itu dikatakan berlaku hanya kerana kejadian ejek mengejek di antara mereka dengan pelajar tahfiz ber­kenaan beberapa hari sebelum itu.

Perkara itu didedahkan dalam sidang akhbar khas oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang mengesahkan setakat ini tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun ditahan di sekitar Keramat di sini bermula pukul 6 petang semalam hingga pukul 2.30 pagi hari ini bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kesemua sus­-
pek dipercayai mengangkat dua tong gas dari tingkat bawah ke tingkat tiga bangunan tahfiz ter­sebut sebelum memulakan ke­ba­karan menggunakan bahan pembakar yang turut mempercepatkan api marak.

“Kesemua suspek dipercayai membakar pusat tahfiz dengan niat tetapi bukan untuk membunuh. Mereka masih muda dan mungkin tidak tahu perbuatan mereka boleh mengakibatkan perkara yang lebih besar.

“Bagaimanapun, kita akan ber­-
pandukan undang-undang sete­rusnya membuka kes mengikut seksyen bersesuaian kerana keja­dian ini melibatkan banyak nyawa termasuk yang masih kecil,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Amar Singh berkata, tangkapan tersebut dibuat selepas pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada penduduk setempat dan dapat mengenal pasti wajah salah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu sekali gus membawa kepada penahan enam orang lagi.

Ujarnya, ujian saringan air kencing juga mendapati enam daripada mereka positif ganja dan dua mempunyai rekod jena­yah lampau kerana merusuh dan mencuri kenderaan.

“Kita turut merampas tiga buah motosikal dan tiga topi keledar selain lima pasang baju dan seluar yang akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian analisa hidrokarbon.

“Hasil daripada penahanan ke­semua suspek, kita percaya kes telah dapat diselesaikan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Amar Singh turut memberi­tahu, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khia­nat dengan api.

Tambahnya, seorang pelajar tahfiz yang ditahan semalam te­lah dibebaskan kerana dia hanya secara kebetulan bangun awal ketika hari kejadian dan tidur di surau bersebelahan dan tidak mempunyai sebarang kaitan de­ngan kejadian tersebut.