Video oleh NURFARAHIN HUSSIN

Turut ditahan dalam serbuan bermula pukul 5.15 petang hingga 5.50 petang itu adalah lapan ahli sindiket termasuk dua wanita berusia antara 19 dan 34 tahun.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, operasi tersebut dilancarkan pihaknya bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan JSJN Kuala Lumpur hasil risikan dan maklumat.

Katanya, menerusi serbuan di rumah sewa sekitar Taman Salak Selatan, Jalan Klang Lama dan Kompleks Bandar Baru, pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah iaitu 167,500 pil ekstasi seberat 67 kilogram (kg), syabu (36.3 kg), kokain (6.5 kg) dan enam gram ketamin yang ke­semuanya bernilai RM8.7 juta.

“Selain itu, kita turut menyita enam kenderaan pelbagai jenis iaitu Toyota Vellfire, Toyota Camry, Toyota Vios dan Perodua Axia selain wang tunai hampir RM5,000 serta pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM656,000.

“Kita percaya modus operandi sindiket ini adalah menyimpan bekalan dadah yang diperoleh daripada sindiket-sindiket lain dalam rumah yang disewa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob.

Kamarulzaman memberitahu, kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari bermula 11 hingga 18 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sejak awal tahun sehingga 11 April lalu, kita telah melaksanakan operasi membanteras sindiket jenayah terancang dalam pengedaran dadah ini dengan efektif dan nilai keseluruhan rampasan dadah setakat ini mencecah RM65.47 juta.

“Kita juga telah menahan sebanyak 47,389 individu yang dipercayai terlibat dalam pe­nyalahgunaan dadah dalam tempoh tersebut selain menyita harta berjumlah RM22.8 juta,” katanya.