Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, rampasan dibuat kira-kira pukul 1.30 petang selepas pihaknya menyita dua buah kontena disyaki mengandungi dadah tetapi diikrarkan membawa alat kenderaan dari Taiwan.

Beliau berkata, kesemua pil seberat 480 kilogram itu didapati disembunyikan di dalam 1,248 tabung besi ekzos motosikal.

"Kita telah membuat pemantauan sejak ketibaan dua kontena tersebut di Pelabuhan Klang pada Disember tahun lalu dan tiada tuntutan dibuat mana-mana pihak terhadap kontena itu.

"Hasil pemeriksaan salah sebuah kontena didapati mengandungi 139 kotak berisi 1,248 ekzos motosikal. Pihak Kastam terpaksa menggunakan alat pemotong untuk membuka ekzos tersebut.

"Di dalamnya terdapat balutan plastik lut sinar mengandungi pil yang disahkan dadah jenis Nimetazepam," katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azmah Abd. Hamid dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Subromaniam berkata, susulan itu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua pil yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh kira-kira 300,000 penagih dadah.

Katanya, rampasan dadah itu dibuat hasil kerjasama JKDM dan polis yang telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi membasmi pengedaran dadah di negara ini. - UTUSAN ONLINE