Itu yang dilakukan oleh lima lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai ahli kumpulan Seelaan Vannete yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua ahli kumpulan tersebut bagaimanapun berjaya ditahan dalam satu operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin lalu.

“Kesemua mereka yang ditahan di sekitar Lembah Klang itu terdiri daripada tiga warga tempatan, Bangladesh (1) dan India (1) berusia dalam lingkungan 36 hingga 40 tahun.

“Penahanan kesemua suspek juga membawa kepada penemuan sembilan buah van jenis Nissan Vanette dan sebuah lori jenis Nissan yang dilaporkan hilang sejak enam bulan lalu,” katanya dalam satu sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Menurut Mazlan, kumpulan tersebut akan menjual barangan perniagaan yang terdapat dalam van tersebut sebelum melupuskan van di kedai besi buruk.

Jelasnya, kesemua kenderaan yang dicuri itu ditemukan di sekitar Lembah Klang dan dianggarkan bernilai RM150,000.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes dadah dan curi,” ujarnya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor. - UTUSAN ONLINE

 

Video oleh Basir Abu Bakar