Video oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan/Pematuhan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zulkifli Yahya berkata, bagaimanapun taktik tersebut terbongkar selepas pihaknya merampas dadah jenis methaphetamine seberat 27.45 kilogram bernilai RM1.92 dalam tempoh dua minggu.

Katanya, sehubungan itu, seramai empat individu warga India berusia 23 hingga 53 tahun ditahan dalam tiga operasi berasingan antara 20 Oktober hingga semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Beliau berkata, ketiga-tiga sindiket tersebut dikesan cuba menyeludup dadah yang sama iaitu jenis methamphetamine namun menggunakan taktik yang berbeza bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pada Sabtu lepas kira-kira pukul 7.40 pagi, dua lelaki warga India yang menaiki penerbangan dari Chennai, India ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan Malindo Air ditahan selepas anggota cawangan pemeriksaan penumpang KLIA menemukan imej mencurigakan daripada dua bagasi yang dibawa individu tersebut ketika melalui mesin pengimbas bagasi.

“Dua daripada empat beg dibawa individu terbabit menemukan tin biskut yang di dalamnya terdapat bungkusan plastik lut sinar dipercayai dadah jenis methamphetamine yang tersorok di bawah serbuk kunyit di dalam tin biskut tersebut.

“Siasatan juga mendapati, jumlah keseluruhan dadah yang ditemui seberat 14.05 kilogram dengan anggaran nilai RM983,500,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 43 dan 52 tahun itu ditahan dengan lelaki berusia 43 tahun itu dikesan mempunyai rekod masuk ke Malaysia sebanyak lapan kali.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, JKDM KLIA turut menahan dua lelaki warga India masing-masing berusia 23 dan 53 tahun pada 20 Oktober dan 2 November lalu selepas pemeriksaan menemukan bahan terlarang itu dalam bagasi mereka.

“Dalam kes 20 Oktober lalu , lelaki warga India berusia 53 tahun menaiki penerbangan MH181 dari Chennai, India ke Kuala Lumpur ditahan selepas pemeriksaan menemukan lima kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM350,000 yang disembunyikan dalam beg pakaiannya ketika melalui mesin pengimbas bagasi kira-kira pukul 7.25 pagi.

“Sementara itu, pada 2 November lalu di KLIA2 pada pukul 5.20 pagi pula, lelaki berusia 23 tahun yang menaiki pesawat Air Asia juga dari Chennai, India ke Kuala Lumpur ditahan selepas pemeriksaan menjumpai 8.4 kilogram dadah methamphetamine yang disembunyikan dalam 35 buah beg kanak-kanak bercorak kartun,” katanya.

Zulkifli berkata, setiap satu daripada 35 buah beg kecil yang dirampas itu diisi dengan dua paket lut sinar dadah dengan jumlah keseluruhannya 8.4 kilogram bernilai RM588,000.

Sehubungan itu, kata Zulkifli, bagi ketiga-tiga kes membabitkan empat individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.