PULAU PINANG 18 Mac – Sebanyak tiga laporan polis dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut di sini berhubung tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dikatakan mengajar kanak-kanak untuk bersikap anti kerajaan dalam satu program berkaitan pendidikan di sini semalam.
Laporan itu dibuat serentak oleh sebuah parti politik iaitu Penang Front Party (PFP) serta dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat 1Malaysia.
Menurut Pengerusi PFP, Datuk Patrick Ooi, pihaknya terpanggil membuat laporan terbabit selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di media sosial sejak malam tadi.
"Walaupun ada pihak mendakwa isu ini sengaja dibuat untuk mengalihkan isu terowong, saya percaya ia lebih kepada satu penghinaan terhadap kerajaan dan rakyat itu sendiri.
"Dalam hal ini, kami mahu beliau (Guan Eng) disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah sengaja melibatkan kanak-kanak dalam politik," katanya.
Dalam rakaman video berdurasi kira-kira 34 saat itu, Guan Eng dilihat menari-nari sambil mengajar kanak-kanak menyanyikan lagu anti-GST (cukai barang dan perkhidmatan).-UTUSAN ONLINE