Video oleh YATIMIN ABDULLAH

Lelaki yang dipercayai Ketua Geng Khairy Bechah Palas itu dikatakan bergiat aktif sejak sebulan lalu di sekitar daerah ini untuk menjalankan aktiviti haram mereka.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, selain Khairy yang berasal dari Wakaf Bharu Tumpat, empat lagi ahli kumpulan itu turut diburu bagi menyelesaikan kes-kes tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, enam anggota kumpulan itu berjaya ditahan menerusi Ops Lejang yang bermula pada 4 Disember lalu.

“Menerusi penahanan enam anggota geng tersebut, kita percaya kumpulan ini hampir berjaya dilumpuhkan. Kesemua suspek yang ditangkap itu berusia antara 17 sehingga 20 tahun.

“Tiga daripada enam suspek itu didapati positif dadah hasil ujian air kencing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, penahanan enam ahli Geng Khairy itu turut membawa kepada penemuan empat buah motosikal yang masih lengkap serta tiga buah rangka.

Katanya, tiga buah rangka itu ditemukan di dalam tali air berhampiran Kampung Kochang dan kejayaan ini adalah hasil maklumat orang awam.