Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu keputusan analisis makmal bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Kata beliau, berdasarkan pe­meriksaan awal, pihaknya tidak menemukan apa-apa kesan kecederaan dan suntikan atau jarum pada tubuh mangsa.
 “Kita sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung spesimen medikolegal yang diserahkan bagi mengesahkan identiti mangsa dan punca kematian. Mayat telah menjalani pemeriksaan bedah siasat yang lengkap termasuk ujian Komputer Tomografi, bedah siasat luaran dan dalaman serta pemeriksaan pergigian,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain; Ketua Jabatan Ins­titut Perubatan Fo­rensik Negara, Dr. Mohd. Shah Mahmud dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman.

Semalam, beberapa media asing melaporkan polis negara ini mengesahkan kematian Jong-nam dise­babkan serangan jantung.


Video oleh NAZWIN NAZRI

Menurut Noor Hisham, pihaknya sedang menunggu sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris dan laporan kesihatan mangsa untuk melakukan pengesahan identiti manakala analisis tersebut telah dilakukan ke atas mangsa.

Dalam pada itu, beliau me­nyatakan, laporan analisis racun masih belum dikeluarkan dan pihaknya tidak akan melakukan bedah siasat kedua ke atas mang­sa.

Tambahnya, Institut Perubatan Forensik Negara, HKL telah menerima mayat warga Korea Utara pada pukul 10 pagi, 15 Februari lalu dan pemeriksaan selesai pada pukul 6.45 petang hari sama.