WAN MOHD. NOR IBRAHIM
WAN MOHD. NOR IBRAHIM

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injapnya dalam keadaan terbuka.


“Pada masa sama, Unit Pengesan (K9) telah mengesan tujuh tempat dan tujuh sampel telah diambil di hadapan pintu masuk bilik asrama tersebut.


“Dalam kes ini empat ekor anjing telah digunakan dan kesemuanya menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini telah dianalisa oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel tersebut mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Mengulas lanjut, katanya, kebakaran di pusat tahfiz tersebut dipercayai disebabkan oleh api yang dinyalakan menggunakan petrol yang telah dicurahkan pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat tiga.


Katanya, kebakaran api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder itu menyebabkan ianya merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.


“Berdasarkan penemuan-penemuan tersebut, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar,” katanya.-UTUSAN ONLINE.