TEO CHEE KEONG
TEO CHEE KEONG

Teo Chee Keong, 52, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini merupakan suspek keempat yang didakwa selepas tiga lagi suspek turut menghadapi nasib yang sama sebelum ini.

Chee Keong yang ditahan SPRM semalam mengaku tidak bersalah terhadap 146 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM32 juta melalui penerimaan wang rasuah melibatkan projek JANS antara tahun 2005 dan 2016.

Sebanyak 78 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu ke­salahan memiliki 70 bidang ta­nah hasil aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.

Sejumlah 68 pertuduhan pula di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama iaitu melibatkan enam kesalahan memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM7,930,810 dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil aktiviti haram di lapan institusi kewangan berjumlah RM12,287,240.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd. Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng serta Hamis Ismail.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan dua penjamin tempatan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap hari Sabtu manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan serta menetapkan pe­ngurusan kes pada 16 Januari tahun depan.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Tengku Amir Zaki berkata, beliau akan memohon kepada mahkamah supaya pertuduhan ini dibicarakan se­rentak dengan kes yang turut membabitkan JANS yang sedang berjalan.

Pada 4 Oktober tahun lalu, Chee Kong ditahan pertama kali oleh SPRM bersama bekas pe­ngarah jabatan itu, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, di pejabat mereka dan hasil siasatan berjaya menemukan wang tunai sebanyak RM52 juta iaitu RM45 juta milik Awang Mohd. Tahir manakala RM7 juta lagi miliknya.



Selain penemuan ber­kenaan, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank yang mencecah nilai RM30 juta di luar negara, geran-geran tanah serta pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM10 juta.

Pada 29 Disember 2016, tiga suspek telah didakwa di mahkamah iaitu Awang Mohd. Tahir membabitkan tuduhan pecah amanah RM56.9 juta, isterinya, Fauziah Piut, 51, atas tuduhan pemilikan wang haram sebanyak RM2.2 juta serta seorang lagi bekas timbalan pe­ngarah JANS, Lim Lam Beng, 62, atas tuduhan memiliki kenderaan mewah serta wang tunai secara haram sebanyak RM2.38 juta.