Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah itu sehingga Ahad ini.

Terdahulu, Hasanah tiba pada pukul 9.08 pagi dengan pakaian reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari.

Semalam dia ditahan kerana disyaki turut terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) termasuk timbalan ketua pengarah bergelar Datuk kerana menyalahgunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Hasanah ditahan pada pukul 4.45 petang selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Mahkamah Majistret di sini semalam juga mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini terhadap tujuh pegawai PTD berkenaan.

Menurut sumber, kesemua suspek masing-masing menjawat Gred 44 sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE