Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Lelaki berusia 57 tahun itu yang baharu keluar penjara dua bulan lalu ditahan sepasukan anggota polis kira-kira pukul 12.30 tengah hari kerana berkelakuan mencurigakan di tepi Jalan Sutera 3, Taman Sentosa, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menemukan sekotak rokok jenama U2 yang mengandungi 18 batang rokok berisi tumbuhan kering disyaki ganja dalam kereta Perodua Kenari miliknya.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di bilik sewa suspek di sebuah Pangsapuri Seri Bayu (Grandview 360) di sini menjumpai beberapa peket dan bungkusan disyaki syabu dan ganja.

“Polis turut merampas dua balang kaca berisi hablur disyaki syabu seberat 6.1 kilogram. Rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM440,400 dipercayai untuk diedarkan bagi kawasan Johor Bahru Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Shahurinain berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 14 utas jam tangan pelbagai jenama, seutas rantai, sepasang anting-anting dan wang tunai RM1,700.

Katanya, ujian saringan yang dilakukan mendapati suspek yang mempunyai 13 rekod lampau berkaitan kes dadah, positif methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati pembekal dadah itu baharu sahaja keluar penjara dua bulan lalu. Dia tidak mempunyai pekerjaan lain dan inilah aktiviti yang dilakukan suspek yang menjadi sumber pencariannya.

“Kami masih lagi menyiasat sama ada suspek mempunyai rakan jenayah lain serta dari mana dia mendapat bekalan dadah tersebut,” katanya dan membe­ritahu suspek ditahan reman hingga Selasa hadapan.