Bayi perempuan itu yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah tilam di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher sebelah kiri.

Suspek yang berusia 32 tahun itu ditahan polis selepas mene­rima panggilan daripada jiran wanita tersebut dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pihak­nya mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa manakala wanita tersebut berada berhampirannya.

Katanya, difahamkan ketika kejadian suami wanita tersebut tidak berada di rumah manakala dua lagi anak suspek yang berusia kira-kira 10 tahun berlari keluar daripada rumah selepas terkejut dengan tindakan di luar kawalan ibu mereka itu.

“Kita dapati bayi tersebut telah dikelar dengan menggunakan pisau pemotong buah di bahagian leher. Wanita tersebut kemudian di bawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya Ab. Rahman, pihak­nya tidak menolak kemungkinan wanita tersebut mengalami masalah emosi sehingga mendo­rongnya melakukan tindakan kejam sedemikian.

“Kita akan dapatkan laporan daripada pihak hospital bagi memastikan wanita tersebut normal atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) untuk bedah siasat.