Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan anak saudaranya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.

Azmil Muntapha tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, gurauan melampau bapa saudara menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki terperangkap hampir 10 minit di dalam mesin basuh di sebuah kedaidobi layan diri.

Tindakannya memasukkan kanak-kanak itu dalam mesin basuh mengundang padah apabila pintu mesin basuh itu tidak dapat dibuka.

Video berdurasi dua minit 46 saat turut tersebar dalam media sosial.

Ia memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.- UTUSAN ONLINE