Video oleh RASHID MAHFOF

Azwan yang juga adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bukti tersebut yang telah disimpan sejak beliau mula bergelar artis adalah terlalu sulit dan perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Beliau yang enggan mendedahkan mana-mana individu terlibat berkata, pendedahan tersebut bukan dibuat atas faktor politik tetapi bagi membantu sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

“Saya hanya membantu dan tidak boleh mendedahkan dokumen ini kerana sangat sulit dan boleh menjejaskan proses siasatan SPRM. Sebagai umat Islam saya bertanggungjawab untuk membetulkan semula situasi yang semakin mencurigakan ini.

“Nama yang ada dalam dokumen sulit ini saya tidak mahu dedahkan, tetapi media boleh buat spekulasi atau jangkaan siapa individu berkenaan. Apa yang boleh saya katakan ialah dokumen ini sangat sulit dan terlalu panas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan dokumen berkenaan di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa Azwan yang terkenal dengan gelaran Diva AA akan hadir ke Ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi maklumat lanjut mengenai dakwaan selebriti itu berhubung salah guna kuasa dan rasuah membabitkan ahli keluarganya.

Sebelum itu, Azwan telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bagi berkongsi maklumat berkenaan dakwaan tersebut di bangunan Parlimen.

Maklumat tersebut juga dipercayai mempunyai kaitan dengan penahanan anak saudara mereka, Mohd. Nuzul Fadli, 37, oleh SPRM berhubung kes melombong pasir secara haram di Kajang baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai tuduhan sesetengah pihak beliau menerima bayaran, Azwan secara sinis berkata, beliau merupakan penerima dedak, barua dan macai nombor satu.

“Kenapa tuduh saya dapat dedak sedangkan banyak lagi artis yang sokong pembangkang. Mereka dapat apa, mungkin dedak basi.

“Saya buat perkara ini sendiri bukan sebab sudah dekat pilihan raya umum tetapi kerana Allah. Allah yang gerakkan saya untuk membuat pendedahan ini selepas enam bulan menunggu selepas balik daripada menunaikan umrah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azwan berkata, pendedahan itu turut mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin pembangkang yang bertalu-talu menghubungi­nya semalam.

Sementara itu, diminta me­ngulas mengenai kenyataan abang­nya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tetap mendoakan kebaikannya walaupun ‘diserang’, Azwan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.