Lambakan sabun pencuci pakaian akhir-akhir ini dijual pada harga yang murah dipercayai menggunakan taktik meletak logo jenama sabun popular untuk menarik perhatian pembeli.

Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 381 botol dua liter sabun pencuci tiruan bernilai RM5,334 yang menggunakan logo jenama sabun popular.

Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Basaruddin Mohiyuddin memberitahu, maklumat tentang penjualan sabun itu diperoleh menerusi aduan pengeluar sebenar sabun berkenaan serta risikan yang dilakukan oleh pihaknya.

"Berdasarkan aduan pihak pengeluar asal, terdapat penggunaan logo tiruan diletakkan pada label yang ditampal pada botol bertujuan untuk mengelirukan pengguna.

"Walau bagaimanapun kami belum mengenalpasti kandungan yang digunakan untuk menghasilkan bahan pencuci itu, namun contoh sabun akan hantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memilih untuk membeli sabun pencuci pakaian supaya tidak terkeliru dengan produk tiruan," katanya kepada Utusan Online selepas operasi serbuan dekat sebuah kedai di Shah Alam, Selangor.

Tambah beliau, barang yang dirampas akan dibawa ke stor KPDNKK Selangor sementara kes berkenaan akan disiasat mengikut di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE