Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Antara aset yang disita termasuk kenderaan mewah, wang tunai, jam tangan dan beg tangan mewah selain pembekuan lebih 20 akaun peribadi dan syarikat.

Menurut sumber, kesemua aset dan akaun yang disita itu dipercayai hasil penyelewengan yang dibahagikan antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.69 juta).

“Antara barangan yang disita membabitkan lima kereta iaitu Nissan Murano, Toyota Estima, Volkswagen Passat, Honda City dan Perodua Myvi serta sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dibeli secara tunai.

“Selain kenderaan, SPRM turut menyita pelbagai mata wang asing sebanyak RM40,000, 21 utas jam tangan mewah serta 11 beg tangan mewah,” katanya di sini hari ini.

Jelas sumber, hasil penye­lewengan itu turut digunakan untuk melancong ke luar negara, pembelian rumah dan dilaburkan dalam pertukaran wang asing.

Pada Rabu lalu, seorang pengurus PCSB dan pengarah syarikat kontraktor serta bekas pembantu teknikal syarikat terbabit ditahan dan direman SPRM untuk disiasat berhubung kes berkenaan.

Hari ini, tiga lagi individu termasuk seorang bekas eksekutif PCSB, bapa mentuanya selain suami kepada pengarah syarikat kontraktor itu direman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan kes sama.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menyiasat ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana mengemukakan invois palsu bagi kerja-kerja The Provision of Jack-up Drilling Rig COSL BOSS for PCSB Drilling Programme di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Difahamkan, tuntutan tersebut sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja dilaksanakan untuk tuntutan tersebut.