ANGGOTA polis direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam
ANGGOTA polis direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan polis menahan reman suspek berusia 49 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai hingga 13 Disember ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Faridatul Farrah Mohd. Shukri.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut sumber SPRM, suspek ditahan di Pusat Membaiki & Service Kereta RMB Workshop kira-kira pukul 9.30 malam semalam.

Suspek dipercayai meminta sejumlah wang pada Ahad dan menerima wang rasuah berjumlah RM3,000 semalam bagi menyelesaikan siasatan berhubung satu kes dadah oleh Bahagian Narkotik IPD Kulai yang melibatkan pengadu.

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat telah menggeledah dua lokasi berasingan, di sini dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.