Video oleh SYEFRY MONIZ

Lebih tragis apabila kepala, kedua belah tangan dan kaki mangsa, You Su Kim, 74, yang lumpuh sejak beberapa bulan lalu itu ditanam manakala badannya pula dicampak ke dalam lubang pembentungan di belakang rumah mereka.

Bagaimanapun, tindakan lelaki terbabit yang cuba menutup perbuatan kejam itu terbongkar apabila jirannya membuat laporan polis pada pukul 1.32 petang hari ini dan meminta siasatan dilakukan setelah mendengar pertengkaran dua beranak itu kira-kira pukul 7 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, sepasukan anggota polis datang ke rumah suspek untuk pemeriksaan sebelum melihat seorang lelaki menaiki kereta cuba berpatah balik setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Menurutnya, lelaki berusia 52 tahun yang merupakan anak mangsa itu berjaya ditangkap dan dibawa ke rumahnya sebelum menunjukkan sebuah bilik di rumah itu yang terdapat ba­nyak kesan darah.

“Suspek kemudian menunjukkan kepada polis bahagian belakang rumahnya dan me­nemukan kepala manusia yang dipotong sebelum memberitahu badan bapanya pula dibuang ke dalam lubang pembentungan sedalam 1.5 meter.

“Lelaki yang telah tiga bulan mengganggur itu menunjukkan sebilah parang sepanjang 76 sentimeter dipercayai digunakan membunuh bapanya dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Yahya berkata, berdasarkan soal siasat terhadap suspek, lelaki terbabit memberitahu bapanya itu selalu memarahinya kerana menghisap dadah di rumah mereka.

Ujarnya, suspek yang dipercayai berada dalam keadaan kha­yal ketika kejadian sekitar tengah malam itu kemudian mengambil tindakan drastik membunuh ba­panya sendiri sebelum membuang mayat lelaki itu di belakang rumah.

“Kepala serta kaki dan tangan mangsa ditanam sekali manakala badannya pula dibuang ke dalam lubang pembentungan sedalam 1.5 meter. Jarak antara kepala yang dita­nam dengan lubang pembentungan itu ialah sejauh 12 meter.

“Lelaki itu yang sebelum ini merupakan seorang kontraktor ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan,” katanya.