Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang, pihak berkuasa tersebut turut menahan seorang lelaki berusia 64 tahun bersama lima lelaki warga Bangladesh yang ketika itu sedang memunggah barangan berkenaan turun daripada lori.

Difahamkan, rampasan tersebut merupakan yang terbesar melibatkan Aksem negeri ini dalam tempoh 10 tahun.

Komander Aksem Padang Besar, Asisten Superintenden Bahari Ahmad berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kegiatan haram tersebut telah dilakukan sejak tiga bulan lalu yang dipercayai untuk dipasarkan di negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung.

“Hasil serbuan itu kita menjumpai sejumlah minuman keras dan rokok putih pelbagai jenama di kawasan gudang itu manakala arak disembunyikan di ruang bawah tanah di situ.

“Anggaran nilai rokok yang dirampas itu adalah berjumlah RM3.6 juta manakala minuman keras pula bernilai RM3.4 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek tersebut diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - UTUSAN ONLINE