Difahamkan, rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand menggunakan laluan laut sejauh 200 kilometer untuk pasaran sekitar Terengganu dan Pahang.

Komander Aksem negeri, Mohd. Asri Yahya berkata, rampasan kira-kira pukul 7 pagi itu dilakukan lima anggota Aksem selepas membuat risikan di sekitar kawasan Pantai Senok, Bachok sebelum melihat sebuah lori penuh muatan dalam keadaan mencurigakan.



Beliau memberitahu, anggota yang menggunakan dua buah kereta itu mengejar lori tersebut sejauh 50 kilometer dari Pantai Senok, sebelum kenderaan terbabit ditinggalkan pemandu di kawasan berkenaan.

“Sebaik sahaja tiba di persimpangan Kampung Bahagia, pemandu lori memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan. Kita cuba menjejaki pemandu terbabit tetapi gagal.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut, kita menemukan sebanyak 8,250 karton atau 1,650,000 batang rokok jenama U2 dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta termasuk cukai.

“Kita percaya kegiatan tersebut didalangi sindiket terancang dengan menggunakan laluan laut­ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Aksem negeri di sini hari ini.

Tambah Mohd. Asri, lori ya­ng dianggarkan bernilai RM80,000 turut disita dan barang kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, be­liau memberitahu, pihaknya akan mempertingkatkan aktiviti pencegahan penyeludupan serta penguatkuasaan melalui operasi­ dengan kerjasama agensi lain menjelang sambutan Deepavali minggu depan.

“Selain itu, kita juga akan perketatkan kawalan pemeriksaan dan pemantauan di pos statik sekatan jalan raya di tiga lokasi utama,” ujarnya.