Beliau yang menaiki kende­raan jenis Toyota Fortuner ti­ba di Kompleks Mahkamah Se­­syen/Majistret di sini pada pukul 9.11 pagi, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu hanya keluar daripada kereta berkenaan kira-kira sejam selepas itu.

Sejurus keluar daripada ken­de­raan itu, Abd. Latif yang memakai baju T lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) warna jingga dilihat memeluk ahli keluarganya selain disambut sekumpulan kecil penyokong yang turut membacakan doa sebelum proses mendapatkan perintah reman bermula.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Nur Sulehan Abd. Rahman kemudian membenarkan permohonan SPRM supaya Abd. Latif direman tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebaik sahaja selesai prosiding reman kira-kira pukul 11.20 pagi, Abd. Latif kemudian dibawa ke Kompleks Pejabat SPRM Johor di Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi di sini.

Abd. Latif yang kini bercuti daripada tugasnya sejak 1 Mac lalu, ditahan di Pejabat SPRM negeri di sini pada pukul 10.50 pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM turut merampas seba­nyak 150 beg tangan berjenama mewah milik isterinya, sebuah kenderaan Toyota Vellfire dan wang tunai RM41,000 dalam serbuan di kediamannya di sini pada 11.40 pagi semalam.

Penahanan Abd. Latif dibuat selepas anak dan pegawai khasnya bersama-sama dua individu lain yang ditahan pada 24 Februari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pagi semalam selepas direman selama 14 hari.

Dua pemaju yang turut ditahan bersama empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu manakala seorang kontraktor yang ditahan pada 28 Februari lalu dibebaskan pada 7 Mac lalu.