Lelaki berusia 50-an yang ditahan pada pukul 1.30 petang itu ‘menjaja’ nama kerabat diraja sebuah negeri di utara tanah air bagi memperdayakan mangsa terdiri daripada ahli perniagaan dan pesara kerajaan dalam lingkungan usia 30-an hingga 60-an.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk 95 pe­nerima pingat dan seorang individu berstatus orang kenamaan (VIP) selaku tetamu kehormat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, hasil siasatan awal, semua 95 mangsa dikatakan membayar RM5,000 setiap seorang untuk mendapatkan pi­ngat palsu berkenaan yang disampaikan dalam majlis itu oleh VIP tersebut.

Katanya, polis turut merampas 66 pingat dan 65 selempang tertera perkataan Pingat Setia Diraja Negara (PSRN), selain lima plak cenderamata ahli persatuan, satu piala cenderamata dan kain rentang yang digunakan pada majlis itu.

“Polis percaya mangsa terpeda­ya apabila suspek memberitahu pingat berkenaan mempunyai keistimewaan yang membolehkan mereka memperoleh tender atau projek kerajaan.

“Suspek dipercayai bergerak berkumpulan dari negeri lain ke negeri ini. Mangsa pula datang daripada pelbagai negeri dan difahamkan sebelum ini suspek pernah cuba menganjurkan majlis sama di sebuah negeri di utara, namun gagal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Asri berkata, suspek menggunakan nama Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Malaysia untuk menipu mangsa selain mendakwa peng­anugerahan pingat mempunyai kaitan dengan kerabat diraja.

“Polis melakukan semakan ke atas persatuan disertai suspek dan ia berdaftar, namun tidak mempunyai kuasa untuk menganugerahkan sebarang pingat seperti yang dilakukan.

“Kita mengumpul maklumat mengenai kegiatan suspek dan penerima yang menjadi mangsa juga sudah tampil untuk membuat laporan serta diambil kete­rangan,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dengan tujuan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua­nya jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penganugerahan pingat palsu itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 013 5882930 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.