Video oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

Bagaimanapun, kegiatan licik lelaki berusia 32 tahun yang turut digelar ‘Profesor’ itu terbongkar selepas dia ditahan sepasukan pegawai imigresen hasil risikan dan maklumat orang ramai di sebuah premis di ibu negara, kelmarin.

Suspek utama diberi gelaran itu kerana kepakarannya dalam menghasilkan pelbagai dokumen dalam tempoh masa singkat selain mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara asalnya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek dikesan memasuki negara ini sejak sembilan tahun lalu dan ditahan bersama seorang rakan senegaranya disyaki sebagai orang kanan yang berperanan menghantar dokumen palsu ter­sebut kepada pelanggannya.

“Susulan penahanan itu sepa­sukan pegawai imigresen telah menyerbu sebuah kediaman yang terletak di Ampang, Selangor yang dijadikan pusat untuk memproses pelbagai dokumen palsu.

“Pemeriksaan menemukan 229 pelekat pelbagai jenis iaitu pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas penggajian, pas pelajar, pas lawatan sosial, Visa Malaysia, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Enforcement Card (E-Kad) dan i-Kad,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mustafar, turut di­rampas ialah sebuah alat pencetak, satu set komputer, tiga komputer riba, 13 cap palsu kedutaan Bangladesh, 28 set kertas men­cetak, 16 kulit pasport Bangladesh, sebuah unit penebuk pelekat, 1,400 kad kosong, pemotong kertas dan wang tunai sebanyak RM14,800.

Beliau berkata, kedua-dua suspek tersebut dipercayai telah menjalankan aktiviti tersebut sejak lebih setahun lalu dan te­lah mengaut keuntungan antara RM50,000 hingga RM70,000 sebulan.

Mustafar berkata, harga yang dikenakan bagi setiap pengeluaran dokumen bergantung kepada jenis kad iaitu antara RM1,000 hingga RM4,000.

Katanya, setelah dokumen palsu itu siap, serahan akan dibuat mengikut tempat dan masa ditentukan seperti di ste­sen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi mereka ialah dengan menggunakan aplikasi Viber bagi menghantar dokumen seperti salinan pasport dan gambar. Proses bagi menghasilkan satu E-Kad palsu kurang lima minit manakala proses membuat pasport dua jam

“Kedua-dua suspek boleh di­dakwa di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.