Video oleh MOHD. SHAHARANI SAIBI

Kesemua tertuduh terdiri daripada S.R. Jevan, 42; A.K. Muniandy, 60; S. Surendran, 35; S. Mohan, 33; S. Prakhas, 34; P. Uthaya Kumar, 25, dan seorang warga Bangladesh, Barique, 37.

Mereka yang juga bekerja sebagai pemandu lori, pengawal keselamatan, peniaga dan buruh binaan kelihatan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang turut tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, kese­mua tertuduh bersama seorang lagi individu yang telah didakwa telah menculik seorang lelaki bernama P. Pratap, 35, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan 1B/8 Bandar Baru Sungai Buloh pada pukul 9.10 malam, 12 Disember tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, mereka boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala Jevan diwakili peguam Dennis Pereira; Muniandy diwakili peguam S.S. Ruben dan P. Prakasam sementara Mohan diwakili peguam K. Lavinia. Empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 13 Mac ini.