Pusat perjudian yang terletak di bilik rahsia dalam pusat snuker itu diserbu kira-kira pukul 9.15 malam oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor dan dibantu D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, 23 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan ketika leka bermain judi.

“Tujuh lagi yang ditahan ialah seorang lelaki warga Myanmar iaitu penjaga, dua lelaki (Indonesia), dua wanita (Indonesia) dan dua wanita (Myanmar) yang merupakan pekerja pusat judi itu.

“Turut ditahan ialah tiga lelaki tempatan yang leka bermain judi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Norhizam, selain tangkapan, polis turut merampas 10 unit mesin simulator, 30 mesin slot, lapan kad kerja, 12 keping cip, tiga keping resit serta wang tunai berjumlah RM5,229.

Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55b Akta Imigresen, Seksyen 39b Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen. - UTUSAN ONLINE

Video oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI