Video oleh MASZUREEN HADZMAN

Kesemua individu yang terdiri 27 lelaki dan lapan wanita itu ditahan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam 11 serbuan di Kuala Lumpur, Melaka, Alor Setar dan Johor Bahru sejak Isnin lalu sehingga semalam.

Sindiket yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu itu juga dikatakan akan bertindak agresif bagi memastikan peminjam membayar kadar bunga tinggi antara 10 hingga 15 peratus sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan RM1.6 juta.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Sakri Arifin berkata, selain pinjam­an wang tidak berlesen, salah satu sindiket yang ditahan juga turut dikesan menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket tersebut adalah dengan mengedarkan risalah di media sosial atau menampal iklan secara haram di lokasi tertentu.

“Mana-mana mangsa yang terpedaya dan ingin membuat pinjaman akan dikenakan syarat ketat dengan memotong 10 peratus daripada jumlah dipinjam, manakala faedah dikenakan pula antara 10 peratus hingga 15 peratus dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya gagal membuat bayaran balik, sindiket akan bertindak mengganggu mangsa, termasuk membaling cat selain mengugut untuk mencederakan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara 238 Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sakri memberitahu, hasil tangkapan itu juga, pihaknya merampas 14 kenderaan yang digunakan anggota sindiket terbabit dalam menjalankan kegiatan mereka.

Ujarnya, turut dirampas iaitu wang tunai RM1,393 dan telefon bimbit pelbagai jenama (70), kad mesin pengeluaran automatik (34) serta sepuluh keping cek.

“Kesemua suspek berusia 15 hingga 44 tahun itu direman selama empat hari bagi memboleh­kan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5(2) dan Sek­syen 29AA Akta Pemberi Pinja­­m­an Wang 1951 serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Selain itu, kedua-dua suspek juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 , Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, bergantung pada hasil siasatan,” jelasnya.