Itu penyelewengan yang dilakukan 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam tempoh hampir tiga bulan bermula 10 Mei lalu iaitu selepas PRU-14 selesai.

Mereka difahamkan membahagikan wang tersebut yang diambil dari pejabat JPM sebelum berbelanja dengan dalangnya dipercayai mendapat hampir RM300,000 sementara yang lain kira-kira RM200,000.

Bagaimanapun kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar perbuatan kesemua suspek sehingga mereka ditahan antara pukul 2.45 hingga 3.15 petang selepas hadir memberi ke­terangan di ibu pejabat suruhanjaya itu, Putrajaya.


Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Menurut sumber, penyelewengan wang tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi pada 10 Mei lalu dan maklumat mengenai perbuatan itu dimaklumkan kepada SPRM selepas wang tersebut didapati hilang.

“SPRM yang melakukan pe­nyiasatan mendapati 17 suspek yang terdiri daripada seorang ke­tua pengawal keselamatan Gred KP52 dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga KP38 berbelanja di luar kemampuan selain mempamerkannya di media sosial.

“Selepas mengumpul bukti, kesemua suspek dipanggil untuk diambil keterangan siasatan dan ditahan. Hasil penahanan mereka, SPRM merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan buah motosikal pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM90,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber, selain tangkapan, SPRM juga sedang menyia­sat lanjut mengenai kewujudan wang tersebut dan mengapa di­simpan di pejabat JPM.

Sementara itu, di Putrajaya, kesemua 17 pengawal keselamatan JPM itu direman selama lima hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabilah Abd. Rashid selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menyiasat kesemua suspek di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua lelaki itu yang berbaju T berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki sebuah bas SPRM.