Video oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

Dalam operasi bermula pukul 9 malam hingga 1 pagi itu, sebanyak 16 anggota AADK dibantu pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa kediaman yang telah dikenal pasti menjadi sarang penagihan.

Ketua AADK daerah, Lawrence Galleh berkata, kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu dan telah dihantar ke pusat tahanan di Papar termasuk sepasang suami isteri serta kutu rayau yang berkeliaran di kawasan kampung pada waktu malam.

"Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1953 dan telah direman 14 hari bermula hari ini mengikut Seksyen 4(1)(b) akta yang sama.

"Dalam operasi itu, sebanyak 30 individu ditahan dan dibawah ke pejabat AADK untuk saringan air kencing, mereka yang positif telah ditangkap manakala yang tidak menggunakan dadah telah dihantar pulang," katanya kepada pemberita di pejabat AADK di sini selepas tamat operasi.

Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan komitmen AADK dalam membanteras penyalahgunaan dadah terutama di Kota Kinabalu yang dikategorikan sebagai daerah Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kewujudan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk memastikan jenayah itu dapat dihapuskan.

"AADK tidak akan berdiam diri kerana kami menerima aduan orang awam berhubung aktiviti-aktiviti ini yang wujud di beberapa lokasi, justeru operasi akan tetap diteruskan.

"Saya juga meminta lebih banyak orang awam tampil salurkan maklumat bagi membantu kami kerana kerjasama mereka penting untuk membanteras aktiviti itu," tambahnya. - UTUSAN ONLINE