SALAH seorang suspek dalam kejadian samun seorang wanita di sebuah dobi layan diri di Bandar Puteri
SALAH seorang suspek dalam kejadian samun seorang wanita di sebuah dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah, semalam. – GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, dua suspek tersebut terlebih dahulu me­lakukan samun bersenjata terhadap seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan pelanggan di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Su­ngai petani pada kira-kira pukul 7 pagi.

“Suspek pertama mendekati mangsa dengan bertanyakan tentang pakaian yang dibasuh telah hilang sebelum secara tiba-tiba cuba merampas beg tangan wanita tersebut. Mangsa sempat menarik beg tangannya, namun suspek terus mengacukan parang sambil meminta wanita itu me­nyerahkan barang berharga.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek meluru masuk dan me­rampas seutas rantai, gelang dan dua bentuk cincin emas sebelum kedua-duanya melarikan diri. Selain barang kemas, mangsa juga kehilangan beberapa barang lain antaranya sebuah telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank dan kad kredit,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Sazalee, kedua-dua suspek kemudian menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Taman Ria, Sungai Petani yang membabitkan kerugian sebanyak RM4,500.

 

“Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.15 pagi itu, seorang suspek masuk ke dalam kedai untuk membeli kad prabayar dan ketika mangsa mahu mengambilnya, seorang suspek masuk ke dalam kawasan kaunter pembayaran sebelum mengacukan parang ke lehernya.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka laci duit sebelum mengambil semua wang dan beg yang berada di dalamnya. Mangsa bagaimanapun sempat menekan butang siren di bawah laci kaunter yang menyebabkan suspek terkejut dan terus me­larikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga Aeroback warna kelabu,” ujarnya.

Sazalee memberitahu, suspek melarikan wang tunai dianggarkan lebih RM1,500 dan lima buah telefon bimbit jenama Samsung, Neffos dan Oppo.

“Hasil siasatan kedua-dua suspek merupakan lelaki yang sama melakukan samun di kedai dobi di Bandar Puteri Jaya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.