Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, kesemua suspek yang berusia 21 hingga 41 tahun dicari sejak 2014 bagi membantu siasatan dalam kes berasingan.

Beliau berkata, empat yang paling dikehendaki kerana kesalahan bunuh dan culik itu dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran atau berada di kawasan sempadan.

“Empat suspek utama yang dicari ialah Syukri Mohd. Abiah , 36, beralamat di Kuantan, Pahang dan Putrajaya; Saw Kim San, 31, Tumpat; Ahmad Syazwan Ayub, 21, Rantau Panjang, dan Mohamad Nasarudin Abdullah Hadi, 23, berasal Gua Musang.

“Usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan menerusi sekatan jalan raya serta Ops Cantas Khas.

“Ada di antara suspek yang terlibat dengan kejadian bunuh di Terengganu dan Pahang yang dipercayai dibayar oleh individu tertentu menjadi pembunuh upahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya akan mengedarkan gambar ke semua suspek tersebut di tempat-tempat awam supaya orang ramai yang mengetahui atau mengenali individu terbabit tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis terdekat. - UTUSAN ONLINE