Perintah reman sehingga 20 Mac ini dikeluarkan oleh Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap kesemua suspek yang berumur antara 26 dan 53 tahun.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu kesemua suspek termasuk dua pegawai polis yang juga merupakan ketua balai tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan milik SPRM kira-kira pukul 10.05 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan kemeja-T.

SPRM semalam menahan kesemua suspek dalam satu operasi yang dijalankan serentak kira-kira pukul 9 pagi di tiga lokasi di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan.


Video oleh ZULKIFLI SAINUDDIN

Sementara itu, menurut sumber, kesemua suspek didapati menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM10,000 secara bulanan daripada pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

Katanya, kegiatan rasuah itu dipercayai telah dilakukan sejak setahun lalu dengan menyasarkan pusat-pusat urut yang baru dibuka.

“Modus operandi mereka ialah menyasarkan pusat-pusat urut yang baru dibuka dengan memberi perlindungan supaya boleh beroperasi dengan bebas.

“Setiap agensi yang terlibat mempunyai peranan masing-masing seperti anggota polis bertanggungjawab untuk memaklumkan tentang operasi serbuan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Anggota bomba yang terlibat pula disyaki bertanggungjawab untuk memberikan lesen keselamatan premis manakala pegawai MPKj meluluskan lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.