JOHOR BAHRU 21 Dis. – Siasatan kes pembunuhan kejam di stesen minyak di Taman Pelangi, di sini Ahad lalu menunjukkan perkembangan baharu apabila polis mengumumkan penahanan tujuh lagi individu petang ini.
Pengumuman itu menjadikan jumlah individu yang ditahan berhubung kes tersebut bertambah menjadi 13 orang dengan enam daripadanya telah direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada sebelah pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua tujuh yang ditahan berusia antara 16 hingga 26 tahun.
“Semalam kita menahan satu lelaki dan satu wanita di Pulau Pinang manakala empat lelaki dan tiga wanita ditangkap di Singapura dengan bantuan Singapore Police Force (SPF).
“Hari ini kita tangkap empat lelaki di Johor dilakukan yang Pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini 13 orang melibatkan sembilan lelaki dan empat wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khalil, polis masih lagi meneruskan siasatan bagi mengesan beberapa lagi suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
Enam daripada 13 yang ditahan itu termasuk seorang wanita dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah penahanan reman dikeluarkan Majistret, Noor Aisyah Ahmad di Mahkamah Majistret di sini.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa, Tan Aik Chai, 44, mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta BMW 520i dinaiki empat lelaki ketika mengisi angin keretanya di stesen itu bersama-sama seorang wanita warga Vietnam.
Mangsa yang tinggal di Taman Perling di sini ditikam sebelum dilanggar dan digilis kereta yang dinaiki suspek sebelum beredar dan Aik Chai mati di tempat kejadian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya awalnyna memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap.
Sementara itu, mayat mendiang yang ditempatkan di Nirvana Memorial Centre, Skudai dibawa ke Taman Peringatan Jelutong, Melaka untuk disemadikan hari ini.