Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, operasi selama dua hari bermula pagi semalam di dua lokasi iaitu di Plaza Tol Gombak dan Jalan Batang Kali - Genting itu turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Operasi ini memberi tumpuan terhadap kenderaan membabitkan kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang dikesan menjadikan lebuh raya berkenaan sebagai litar lumba untuk melepaskan gian ketika hujung minggu.

“Sebanyak 94 saman membabitkan kesalahan lesen memandu, tiada cermin sisi (31), kesalahan membabitkan cukai jalan (54), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (90), kesalahan tali pinggang keledar (12), kesalahan menggunakan lorong kecemasan (6), kesalahan lesen P dan L (15), serta 49 saman kerana lain-lain kesalahan,” katanya ketika sidang akhbar selepas operasi tamat, tengah hari tadi.

Menurut Azman, dalam operasi itu juga pihak polis turut menahan lapan lelaki kerana kesalahan membabitkan dadah, memandu secara berbahaya, memandu di bawah pengaruh alkohol dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala seorang wanita Vietnam turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Pihak JPJ mengeluarkan 217 saman membabitkan pelbagai kesalahan, manakala AADK menjalankan ujian air kencing terhadap 75 individu yang mana 16 daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah.

“Kita sedia maklum lebuh raya KLK sering digunakan sebagai tempat untuk menguji jentera terutamanya motosikal berkuasa tinggi dan kereta mewah atau ‘sport car’ yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain seterusnya menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan, jadi kita ambil inisiatif melakukan sekatan jalan raya bagi membendung kejadian tidak diingini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE