Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun itu ditahan pada 2 Oktober lalu selepas menahan seorang daripada suspek di Jalan Doraisamy di sini kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, seorang warga Bangladesh didatangi empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta pasport dan mengugut mangsa untuk membawanya ke balai polis.

“Suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan tempat tinggalnya. Ketika di rumah, suspek meminta mangsa serta sembilan rakan serumahnya menyerahkan wang dan telefon bimbit,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Tambah Shaharuddin, kesemua suspek direman selama 13 hari bermula 2 Oktober lalu sehingga 15 Oktober depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan dengan menyamar sebagai penjawat awam.- UTUSAN ONLINE