Tindakan yang dilakukannya yang juga penyokong Daesh adalah kerana ber­anggapan kerajaan di bawah Sultan Muhammad V serta menteri-menteri tersebut tidak mentadbir negara berlandaskan syariat Islam.

Penganggur tersebut merupakan antara tujuh individu lain yang ditahan dalam beberapa serbuan bermula 12 hingga 17 Julai di Johor, Terengganu, Perak dan Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki itu ditahan di Skudai, Isnin lalu, manakala seorang operator kilang berusia 21 tahun di Masai pada hari sama selepas mengaku menyokong serta merancang menyertai pengganas Daesh di Syria.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan seorang peniaga warga Indonesia berusia 26 tahun, dipercayai anggota Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) dan telah berbaiah dengan pemimpin tertinggi kumpulan itu di Bandung, Indonesia, Khamis lalu di Terengganu.

“Lelaki itu juga merancang membawa isteri serta anaknya berhijrah ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh. Pada hari sama di Petaling Jaya, seorang lelaki berusia 27 tahun yang mengaku terlibat dengan Daesh turut ditahan.

“Hasil siasatan mendapati suspek turut menyimpan kira-kira 100 video dan 90 keping gambar berkaitan aktiviti kumpulan pengganas itu, malah mempromosikannya di dalam akaun Facebook miliknya,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut Mohamad Fuzi, tangkapan turut melibatkan suspek lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun yang mengaku mempunyai hubungan dengan Kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) iaitu kumpulan yang terlibat dalam pembunuhan pegawai Polis Republik Indonesia (Polri) pada 10 Mei lalu di Jawa Barat, Indonesia.

Jelasnya, dua warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 42 tahun itu diberkas di Johor.

“Suspek wanita dipercayai telah menyalurkan wang berjumlah kira-kira RM4,000 kepada anggota Daesh di Syria iaitu Muhammad Nasrullah Latif @ Abu Gomez yang dilapor terkorban pada Mac lalu.

“Suspek lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dikesan membuat ugutan melalui status di dalam Facebook miliknya untuk melancarkan serangan bom di Malaysia, Indonesia dan Filipina, selain se­ring berhubung dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (perancang utama insiden bom di Puchong, Jun 2016),” ujarnya.

Tambah Mohamad Fuzi, ke­semua suspek akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.