Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Sekolah Merbau Pulas, Kuala Ketil itu, menyebabkan lelaki berusia 60 tahun tersebut bertindak membuat laporan polis.

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 18 dan 31 tahun serta tidak bekerja itu sebelum ini sering meminta wang daripada bapanya tersebut, namun kali ini tidak diendahkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, warga emas terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan di sini kerana bimbang keselamatan diri dan isterinya.

"Susulan laporan itu, polis menahan dua lelaki tersebut di rumah keluarga mereka pada pukul 6 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 23 sentimeter.

Tambahnya, semakan mendapati suspek berusia 31 tahun memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi manakala adiknya tiada rekod lampau.

"Ujian air kencing kedua-duanya didapati negatif tetapi mereka disyaki terlibat dengan gejala dadah. Mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya. - UTUSAN ONLINE