Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.23 pagi ketika pelajar kolej itu sedang menjalani ujian memandu dengan dipantau penguat kuasa JPJ berusia 33 tahun.

Katanya, semasa ujian tersebut, suspek yang berasal dari Kuala Lumpur melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak berhenti di lampu isyarat di Batang Benar.

“Berikutan itu, anggota penguat kuasa tersebut memaklumkan suspek dia telah gagal ujian berkenaan dan mengarahkannya memberhentikan kenderaan kira-kira 50 meter dari lampu isyarat tersebut.

“Ketika mahu menukar pemandu, suspek yang berada di tempat duduk telah mengambil begnya dan mengeluarkan pisau pemotong sayur berukuran 30 sentimeter dan mengacukannya ke arah rusuk kanan penguat kuasa JPJ itu.

“Suspek berulang kali memberitahu dia mahu lulus ujian tersebut kerana telah gagal sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, anggota penguat kuasa JPJ itu meminta suspek bertenang dan dia sempat keluar dari kenderaan sebelum menghubungi penyelianya bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, polis yang tiba di lokasi kejadian telah menahan suspek yang masih berada di dalam kenderaan dan dibawa ke Balai Polis Mantin.

Ujarnya, ujian air kencing terhadap remaja itu mendapati dia negatif dadah dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh. - UTUSAN ONLINE