Tahanan reman terhadap dua anggota polis berpangkat Sub Inspektor dan Sarjan ini dibuat selepas semalam tiga lagi anggota polis berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal direman berhubung kes yang sama.

Majistret Shazali Hidayat Shariff membenarkan tahanan reman terhadap kedua-dua individu itu yang masing-masing berusia 51 dan 38 tahun itu kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penangkapan kedua-dua anggota polis itu dilakukan selepas hadir di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 12.30 tengahari dan 9 malam.

“Tangkapan ini dilakukan oleh SPRM Pulau Pinang dengan dibantu oleh SPRM Selangor dan merupakan susulan tangkapan tiga anggota polis semalam yang kita percayai kesemua mereka mempunyai rantaian rasuah yang sama.

“Kita percaya anggota polis berpangkat Sub Inspektor yang bertugas di IPK Selangor itu merupakan dalang kes ini,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Sumber turut memberitahu, kegiatan yang dilakukan hampir enam tahun sejak 2012 dengan memperoleh suapan antara RM300 hingga RM500.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Semalam Utusan melaporkan tiga anggota polis traik masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung menerima wang suapan bagi menutup saman-saman trafik yang dikenakan kepada pemilik kenderaan. -UTUSAN ONLINE