Turut direman adalah seorang lelaki merupakan pemilik syarikat berusia 50 tahun didakwa terlibat dalam penjualan dakwat tersebut.

Majistret Roslizi Sulaiman membenarkan perintah reman dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Klang kira-kira pukul 11 pagi ini.

Menurut SPRM, pegawai wanita berpangkat Leftenan Komander tersebut kini bertugas sebagai Penolong Setiausaha (Laut) Bahagian Pengurusan Sempadan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Bentara Kanan masing-masing berusia 39 dan 38 tahun yang masih bertugas di pusat tersebut didakwa mengemukakan tuntutan bayaran pembelian dakwat tersebut.

Meskipun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit telah dikeluarkan syarikat berkenaan namun peralatan yang disenaraikan itu tidak dibekalkan mereka.

Ujar SPRM, antara peralatan dakwat yang disenaraikan iaitu Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A bernilai RM57,400.

Ketiga-tiga individu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dihantar ke lokap tahanan SPRM di Putrajaya dekat sini.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10.50 pagi memakai baju lokap SPRM berwarna oren diiringi pegawai pengiring.

Semalam, ketiga-tiga mereka dan seorang pengurus syarikat ditahan di pejabat suruhanjaya itu di Klang semalam. Bagaimanapun, pengurus syarikat terlibat dilepaskan dengan notis serta jamin untuk hadir di SPRM Klang bagi merakamkan percakapan. - UTUSAN ONLINE