Mohmad Salleh

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, buat masa ini siasatan secara terperinci sedang dijalankan pihak polis Indonesia.

“Masih terlalu awal untuk saya beri kenyataan mengenai peranan suspek dalam sindiket berkenaan, apa yang kita tahu dia ditembak kerana melarikan diri ketika cuba ditahan polis Indonesia.

“Kita tunggu la­poran siasatan dari pihak Indonesia siap dahulu dan selepas itu baru kita boleh keluarkan kenyata­an mengenai­nya,” ka­tanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohmad turut men­­jelaskan, berdasarkan maklumat polis Indonesia, suspek bekerja sebagai tukang masak di negara itu.

Katanya, suspek didakwa cuba melarikan diri bersama dua rakannya yang merupakan warganegara Indonesia ketika ditahan dan selepas ditembak pihak polis menemukan dadah jenis syabu seberat 15 kilogram bersama mereka.

Semalam, media melaporkan ketiga-tiga suspek ditembak mati polis Indonesia dalam operasi membanteras dadah di Me­dan, Indonesia.

Ketua Polis Sumatera Utara, Paulus Waterpauw berkata, suspek ditahan di Jalan Imam Bonjol, berhampiran Vihara Borobudur.

Tambah Paulus, keseluruhan syabu yang dirampas dalam operasi itu berjumlah 15 kilogram dan dipercayai dibawa masuk dari Malaysia melalui pelabuhan Pekan Baru.